28 June 2012

Cerpen : Cahaya cinta Zahra

"Zahra..." lembut suara itu memanggil. Zahra tidak menghiraukannya. Namun, suara itu masih lagi memanggil namanya berkali-kali. Dirinya mula naik berang.

Dia berpaling. Di belakangnya sudah berdiri seseorang sambil tersenyum. "Kau nak apa, hah?" tanya Zahra agak kasar. Dia masih lagi tersenyum. Riaknya kelihatan tenang.

"Tidak ada apa. Cuma nak ucapkan tahniah sebab dapat straight A's. Aku nak bagi ni je," katanya sambil menghulurkan bungkusan yang agak besar beserta kad di atasnya. "Kenapa tiba-tiba kau nak bagi aku ni... You've lost your mind, right?..." Zahra bersuara.

Namun, orang tersebut terus tersenyum dan menggelengkan kepalanya. "Kau ambil sajalah... Jumpa kau lagi bila dah berjaya nanti," balasnya seraya berlalu dari situ. Zahra terpinga-pinga dengan kelakuan orang itu. Memberinya sesuatu tanpa tujuan yang nyata. Sungguh pelik baginya.

*******

Matanya menatap sayu surat tawaran itu. Hatinya berdolak-dalik tatkala memikirkannya. Apa yang perlu dia lakukan kini adalah membuat keputusan sama ada menerima tawaran tersebut ataupun menolaknya. Zahra Irdina mengaru-garu kepalanya. Jika diikutkan pada kewangan, dia sendiri tidak perlu risau kerana permohonan biasiswa JPA telah pun diluluskan seminggu yang lalu.

"Zahra, betul ke apa yang kau buat ni? Jangan menyesal tau," ujar Hani. Zahra tersenyum mendengar kata-kata sahabat baiknya itu.

"Kau jangan risaulah, Hani. Aku tahu apa yang aku sedang buat. Belajar di perantauan merupakan satu peluang besar, Hani Darwisyah. Mana boleh aku lepaskan peluang ini," kata Zahra, suatu semangat terbayang di riak wajahnya.

"Bukan aku kata kau tak boleh pergi... Aku takut kau kena culture shock nanti," Hani memberikan pendapatnya.

"Hani, percayalah. Aku boleh bawa diri. Kau jangan risau, okay..." Zahra cuba meyakinkan sahabatnya itu. Hani sekadar mendiamkan diri.

*******

Melanjutkan pengajian di tempat orang membuatkan Zahra berasa sungguh teruja. Sudah hampir dua tahun Zahra di perantauan. Penampilannya yang dahulu masih lagi sama. Tiada perubahan. Tetapi pengenalannya dengan seorang pemuda kelahiran Singapura di University of Alberta memberinya sejuta rasa. Perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.

Ayman Hariz, pemuda kacukan Singapura-Jerman mula memikat hatinya. Usia Hariz tidak jauh beza dengan usia Zahra yang kini menjangkau 20 tahun. Hariz sentiasa memberikan layanan yang terbaik buat kekasih hatinya.

"Sayang, awal cuti semester nanti I nak ajak you pergi Niagara. You sudi?" luah Hariz. Zahra mengangguk tanda setuju. Dia tidak pernah rasa sebahagia kini. Kehidupannya di Kanada cukup berbeza ketika di kampung. Segala yang dia inginkan pasti Hariz tunaikan. Kebahagiaan yang selama ini dia impikan seakan menjadi kenyataan.

*******

"Zahra, boleh tak bila kita pergi nanti, I tak nak you pakai benda ni," ujar hariz sambil jari telunjuknya menunding ke arah tudung yang dipakai Zahra.

Zahra membuntangkan matanya. "Tapi..."

"Untuk I seorang aje. Please... Kali ini saja," pinta Hariz bersungguh-sungguh.

Zahra tersenyum mendengar permintaan itu. "Okaylah, I ikut kata you kali ni. Tapi sekali saja tau. Promise?"

Hariz menganggukkan kepalanya sambil memberikan senyuman menawan. Muka Zahra naik merah tanda malu.

Sebelum bertolak ke Niagara, Zahra menelefon Hani terlebih dahulu. Dia menceritakan permintaan Hariz kepada Hani. Sahabat baiknya itu terkejut besar mendengar permintaan tersebut.

"Alah, bukan selalu Hani. Sekali saja."

"Apa kau kata? Sekali? Kau ni kenapa? Tak takut Allah ke?" keras suara Hani Darwisyah.

"Hani, sejak bila kau macam ni?! Sebelum ni, kau tak pernah pun nak halang aku buat apa yang aku suka... Sudahlah, Hani. Malas aku cakap dengan kau!" Zahra segera memutuskan talian itu. Dia mendengus kasar.

*******

Perjalanan ke Niagara dari tempat Zahra menetap mengambil masa sehari 14 jam. Jadi, mereka terpaksa bertolak lebih awal ke sana. Zahra kelihatan riang sekali. Begitu juga dengan Hariz.

Niagara Falls merupakan tempat yang cukup cantik di sempadan Kanada-USA. Air terjun yang jatuh berbentuk ladam kuda menarik minat ramai pelancong di serata dunia. Cinta Zahra terhadap Hariz makin lama kian mendalam. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi cintanya terhadap seorang insan bernama lelaki.

Perlahan-lahan Hariz mengelus lembut rambut buah hatinya yang mengurai panjang. Sesekali rambutnya berterbangan dek ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Mereka duduk di sebuah bangku di taman di sebuah bandar berdekatan. Tika itu, malam sudah lama berlabuh menggantikan siang.
Ayman Hariz mengerling jam tangannya yang sudah menunjukkan jam 9.00 malam mengikut waktu Kanada.

"Zahra, kalau I minta you buat sesuatu untuk I, you boleh tunaikan?" pinta Hariz seperti anak kecil.

"Apa dia, sayang?" Zahra memandang wajah orang di sisinya itu.

"Boleh you layan I tak? Untuk malam ini sahaja." Zahra terpempan mendengar kata-kata yang baru sahaja diucapkan Hariz sebentar tadi.

"What? Are you crazy, Hariz? I tak akan pernah gadaikan diri I sebelum you marry I," jawab Zahra segera menjauhkan diri daripada Hariz. Dia bingkas bangun daripada bangku itu.

Hariz cuba mendekati Zahra. "Marry? Oh no! I tak pernah terfikir pun untuk jadikan you isteri I. You bukan taste I. Sekadar buat main-main, bolehlah..." Hariz menaburkan kata-kata menjelikkan dalam helai tawanya yang sangat kuat.

"Sanggup you, Hariz. Sanggup you buat I macam ni..." kata Zahra dalam tangisan.

Hariz makin mendekati Zahra. Dia memegang kuat tangan gadis itu. Zahra cuba melepaskan diri. Tiba-tiba, satu tumbukan kena pada muka Hariz. Keluar darah dari mulutnya.

"What are you doing to her?" Tanya satu suara. Suara itu seperti orang Malaysia. Zahra terpempan sekali lagi.

"Hey, man! I just want to test this girl. Please don't stop me, okay!"

Satu lagi tumbukan kena pada mukanya. Hariz jatuh terjelopok di atas tanah. Orang itu segera mengajak Zahra lalu berlalu dari situ. Entah mengapa, dirinya hanya menurut sahaja.

"Thank you..." ucap Zahra termengah-mengah. "Never mind. Tolong jaga diri awak tu baik-baik. Baik awak pakai tudung awak balik..." katanya seraya pergi meninggalkan Zahra sendirian di situ.

*******

Zahra Irdina memandang sayu langit di bumi Kanada. Sekarang, dia berada di balai berlepas. Lagi beberapa minit, dia akan berlepas ke tanah air, Malaysia. Lima tahun di Kanada mengajar dirinya pelbagai perkara. Segala-galanya memberikan kesedaran pada dirinya.

"Zahra Irdina!!!" jerit seseorang memanggil namanya.

Matanya melilau-lilau mencari suara itu.

"Zahra!!!"

Matanya tertancap pada seseorang yang amat dirinduinya. "Hani? Hani Darwisyah???"

Hani mengangguk riang. Wajahya cukup ceria menyambut kepulangan sahabat baiknya ke Malaysia. "Kau apa khabar? Lamanya tak jumpa kau... Rindu sesangat tau!" luah Hani tidak terkata. Hani membantu Zahra memasukkan bagasi ke dalam bonet kereta.

"Mak kau tak dapat ambil. Jadi, dia suruh aku ambil kau kat KLIA." Zahra sekadar mendengar. Matanya tertumpu pada seorang pemuda yang berada dalam kereta tersebut. Dia seakan pernah bertemu dengan lelaki tersebut tetapi entah di mana. Dia sendiri tidak ingat.

*******

Usai menunaikan solat Isyak, Zahra mula mengemas barang-barangnya. Dia sudah pun makan malam bersama Puan Noraini dan adiknya, Zainal. Zahra cuba mencapai sesuatu di atas almari bajunya. Tangannya terasa sesuatu. Sebuah bungkusan.

Zahra mencapai bungkusan tersebut. Dia membuka balutan yang membalut bungkusan itu. Sejadah. Cantik. Hatinya terpegun melihat sejadah itu. Dia cuba mengingat kembali siapa pemberinya. Namun nama pemberi tiada di situ. Kad yang disertakan turut tidak tertulis nama pemberi.

"Jumpa kau bila dah berjaya nanti..."

"Never mind. Tolong jaga diri awak tu baik-baik. Baik awak pakai tudung awak balik..."

Zahra tersedar daripada lamunan. Dia mengerti. Tetapi mengapa baru kini?

*******

Hani Darwisyah pergi menemui sahabatnya di Manjung Kopitiam. Zahra tersenyum melihat kelibat Hani di situ.

"Hah, kau ni kenapa tiba-tiba aje?" soalan yang pelik diajukan kepada Zahra. Zahra melirikkan senyuman manis.

"Kau duduklah dulu... Hani, baru aku tahu siapa yang bagi sejadah yang aku ceritakan kat kau dulu."

"Siapa?" Tanya Hani ingin tahu.

"Lelaki yang teman kau dan kawan-kawan masa ambil aku kat KLIA tu... Lelaki yang sama selamatkan aku daripada perbuatan jahat Hariz. Dan lelaki yang sama menegur aku time ambil result SPM lima tahun lepas," Zahra mula berbicara.

"Azeem Danial?"

Zahra menganggukkan kepalanya.

"Baru sekarang kau sedar, kawan? Kau tahu, dalam diam dia belajar kat Kanada, sentiasa perhatikan kau. Sebab dia tahu, kau mudah terpengaruh. Dalam diam dia menyimpan perasaan kat kau..." Hani pula berbicara.

"Sebab tu la, aku rindu sangat kat orang yang bagi sejadah tu." Muka Zahra mula merah padam menahan malu. Hani tersengih.

"Okay, sekarang aku nak cakap pula. Kali ini, kau kena dengar. Nak tak nak, kena juga.

"Zahra, kau capailah dahulu impian kau tu. Cinta kau tolak ke tepi dulu. Cinta Allah itu yang penting. Tentang dia, kau doalah banyak-banyak. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya."

Sekarang, Zahra mengerti. Dia tidak perlu terhegeh-hegeh mencari cinta manusia kerana Allah akan menentukan yang terbaik buat dirinya. Tentang Ayman Hariz, biarlah kisah silam itu menjadi pengajaran buat dirinya. Azeem Danial. Seorang lelaki yang terlalu istimewa bagi dirinya. Dia tidak pernah menyuarakan hasrat hatinya walaupun mereka pernah satu sekolah dahulu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Penyayang.

sumber : iluvislam
notahatihawa; bukan untuk hiburan semata-mata tetapi untuk pengajaran

No comments:

Post a Comment

Awak comment saya sayang.. =)